Monday, June 22, 2009

Rabu, 1.30pm - 3.30pm_Latihan Kefahaman

Latihan Kefahaman_W2/P2/3E/MYE07

BAHAGIAN C (26 MARKAH)

ARAHAN: Baca petikan karangan yang berikut dengan teliti.

Sabtu, 21 Ogos 1999. Suasana pada pagi itu sama dengan suasana pada pagi ini. Sungguh dingin, nyaman dan tenang. Tidak terlintas pun di dalam fikiranku betapa pada pagi yang tenang itu, akan berlaku suatu peristiwa yang meninggalkan kesan yang amat mendalam terhadap diriku.

“Ibu, Boi nak pergi ni. Kawan-kawan Boi semua dah lama tunggu Boi. Kalau Boi lambat datang, mereka akan marah,” terdengar suara abangku dari muka pintu.

“Tidak usah pergilah, Boi. Kamu tu baru baik dari demam. Sekarang ni tengah hujan gerimis, nanti kamu demam lagi. Nanti, siapa yang susah? Ibu juga. Lagipun jalan licin, bahaya menunggang motorsikal.”

“Tidak apa-apa. Boi akan berhati-hati. Ibu usahlah risau sangat,” jawab abangku, cuba meyakinkan ibuku.

“Kenapa tiba-tiba berasa berdebar-debar ni? Macam ada sesuatu yang buruk akan berlaku. Ish...,”sangkalku dengan cepat. Deringan telefon yang kuat dari ruang tamu menghentikan lamunanku.

“Abang kau! Abang kau kemalangan dan sekarang dia di hospital!” suara ibuku separuh menangis.

Aku segera bingkas bangun lalu menukar pakaianku. Ibu telah pergi meminta pertolongan daripada jiran kami, Pakcik Noh, untuk menghantar kami ke hospital. Anak kedua Pak Cik Noh, Abang Hashim, menawarkan dirinya untuk menghantar kami anak-beranak ke hospital.

Di hospital, kami diberitahu bahawa abangku cedera parah dan memerlukan pembedahan dengan segera. Sebelum pembedahan dimulakan, kami perlu membayar wang pendahuluan sebanyak $600. Namun, wang ayah tidak mencukupi dan berbincang bagaimana untuk mendapatkan wang itu. Kami berasa risau sehingga tidak perasan kehadiran Abang Hashim yang daripada tadi menemani kami di hospital.

Tiba-tiba, Abang Hashim bingkas bangun ke kaunter pertanyaan. Tanpa diduga, Abang Hashim menyeluk poket belakang seluarnya lalu mengeluarkan sejumlah wang dan terus sahaja diserahkan kepada jururawat itu. Kami tergamam dan hairan dengan perbuatan Abang Hashim itu lalu menghampirinya. Baru sahaja kami hendak membuka mulut, Abang Hashim mengangkat tangannya.

“Tidak usahlah Pakcik risau. Saya telah pun jelaskannya tadi. Kini kita hanya perlu berdoa agar Boi dapat diselamatkan dan pulih seperti sedia kala,” jelas Abang Hashim, menjawab pertanyaan yang terbuku di hati kami.

“Engkau ni Hasim, kenapa engkau... Menyusahkan engkau sahaja,” bantah ayahku.

“Perkara ini tidak menyusahkan saya langsung Pakcik. Malahan saya gembira dapat membantu. Wang dapat dicari tetapi nyawa seseorang lebih berharga daripada wang. Kita kan jiran...,” jelasnya lagi cuba meyakinkan ayahku.

Ayahku tidak apat mengeluarkan sebarang kata-kata. Kulihat ayah terlalu terharu dengan kebaikan hati Abang Hashim itu. Ayahku kini sedar, nyawa anaknya jauh lebih penting daripada perasaan egonya. Dengan air mata berlinangan, ayahku mengucapkan terima kasih kepada Abang Hashim lalu memeluknya dengan erat.

(Dipetik dan diubahsuai daripada ‘Pada Satu Kenangan’, Dewan Siswa, Nov 2002)


ARAHAN: Berdasarkan petikan karangan di atas, jawab soalan-soalan yang diberikan. Kemudian, tulis jawapan kamu dalam ruangan comments di bawah.


24 Mengapakah ibu penulis tidak membenarkan abangnya keluar? (2 markah)



25 Sarankan usaha yang boleh dilakukan oleh keluarga penulis untuk menyelesaikan
masalah mereka jika Abang Hashim tidak membantu mereka.
(2 markah)


26 Abang Hashim mempunyai ciri-ciri seorang jiran yang baik. Nyatakan dua ciri itu dan berikan dua bukti daripada petikan untuk menyokong jawapan kamu. (6 markah)


27 Berikan dua pengajaran yang telah kamu perolehi daripada cerita ini. Jelaskan jawapankamu dengan memberikan sokongan daripada petikan.
(6 markah)


28 Pada pendapat kamu, mengapakah jiran-jiran dianggap sebagai saudara terdekat? (4 markah)


Bagi Soalan 29 hingga Soalan 31, terangkan maksud perkataan atau frasa yang diberikan berdasarkan petikan dengan menggunakan tidak lebih daripada 10 perkataan.


29 berhati-hati (baris 10 ) (2 markah)


30 menawarkan diri (baris 21) (2 markah)


31 tanpa diduga (baris 26 ) (2 markah)


Jangan lupa nyatakan, nama, tarikh dan kelas dalam ruangan 'comments' bagi tujuan penilaian.


Jumlah Penuh: 26 markah.


Sekian, terima kasih.

Isnin, 5.45pm - 7.00pm_Karangan Perbincangan

Karangan Perbincangan_W2/3E/MYE07

BAHAGIAN B (50 markah)

Arahan: Tulis sebuah karangan dengan menggunakan sekurang-kurangnya 240 patah perkataan mengenai salah satu daripada tajuk-tajuk di bawah ini.

Soalan:

Pada pendapat kamu, apakah langkah-langkah yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah untuk memupuk bakat kepemimpinan dalam kalangan pelajar?

Penghantaran jawapan:

Bagi latihan ini, emel kepada saya karangan yang telah anda siapkan kepada salah sebuah email di bawah ini.

Emel:

1) erfi2@hotmail.com

2) melyna75@yahoo.com.sg

Sekian, terima kasih.